MUSTAPHA Kamal dan  isteri bersama cucu kesayangan.MUSTAPHA Kamal dan isteri bersama cucu kesayangan.
'Raja rumah mampu milik’ beri inspirasi kejayaan tuntut disiplin, iltizam

BELIAU boleh saja terus bekerja dalam pejabat yang selesa, menerima gaji tetap setiap bulan, cukup umur bersara - mungkin dengan pangkat Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) – tetapi nyata bukan itu takdirnya. 
Selepas puas berfikir dan berbincang dengan keluarga, Mustapha Kamal Abu Bakar yang kini bergelar Tan Sri atau popular dipanggil MK menetapkan minda, kerusi empuk ditinggalkan dengan rela untuk menempuh cabaran menjadi usahawan muda. 


Itu kisah lebih suku abad lalu, ketika pemuda berusia 33 tahun itu meletak jawatan di sebuah syarikat pemaju, ketika pangkatnya dalam anak syarikat milik kerajaan Selangor itu di tangga nombor satu.

Nyata keputusannya tepat, syarikat yang diasaskan mencapai kejayaan hebat apabila satu demi satu projek hartanahnya mendapat sambutan hangat.

Kisah bagaimana mula berniaga, cabaran serta dugaan yang dihadapi, aspek pengurusan, prinsip dan falsafah, amat menarik untuk dikongsi dan segala-galanya dibukukan dalam naskhah Building Passion with Mustapha Kamal.

Ketika tamat pengajian di Universiti Malaya pada 1971, bidang hartanah tidak terlintas dalam fikiran, sebaliknya seperti kebanyakan graduan Melayu lain, keutamaannya menjadi pegawai kerajaan, naik pangkat dan bersara sebagai birokrat. 
Itu yang dilakukan MK, menyertai sektor awam selama tujuh tahun sebelum dilantik Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Hormat Rafie menjadi pengurus besar syarikat pemaju hartanah, Shah Alam Properties Sdn Bhd (SAP).

Bintangnya terus bersinar dan dinaikkan pangkat sebagai pengarah urusan syarikat terbabit, milik penuh Kumpulan Perangsang yang menjadi sayap pelaburan kerajaan Selangor.

Beberapa tahun sebelum itu, MK melalui pengalaman menarik ketika menjadi Penolong Pegawai Daerah di Gombak. Pengalaman bertemu seorang lelaki Cina berusia lingkungan 70-an menjadi pencetus semangatnya untuk menjadi usahawan.

Kata-kata lelaki itu: “Dalam kebanyakan keadaan, kuasa dan kekayaan tidak boleh bercampur aduk... mungkin boleh pilih satu, bukan kedua-duanya pada satu masa”. 

Sebenarnya, anak sulung daripada lima beradik itu yang pernah menjadi pemain gitar utama kumpulan muziknya sendiri ketika masih di sekolah, tidak tahu rezekinya berada di tempat lain. 

“Jika tak jadi ahli perniagaan, saya akan jadi pemuzik,” katanya yang bermain muzik sejak usia 13 tahun dan pernah mengiringi persembahan artis terkenal seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma.

Ketika menerajui SAP, beliau belajar selok-belok sektor hartanah, berurusan dengan perunding, kontraktor, subkontraktor, pembekal dan pemaju besar lain.

SAP meraih keuntungan besar dan ia melonjakkan lagi keinginan MK menjadi usahawan, apatah lagi kata-kata tauke Cina yang ditemuinya beberapa tahun sebelum itu tetap menjadi inspirasi dan masih terngiang-ngiang dalam fikiran.

Dengan restu isteri, Puan Sri Wan Nong Wan Ibrahim serta keluarga, MK nekad mengucapkan selamat tinggal kepada SAP, lalu memulakan bisnes sendiri melalui syarikat MK Associates yang mula beroperasi pada 1983.

Sudah lumrah bidang perniagaan, bekas pelajar Sekolah Inggeris Methodist Teluk Datuk, Banting itu berdepan pelbagai cabaran dan dugaan tetapi rezekinya murah hingga namanya dikenali sebagai ‘raja rumah mampu milik.’

Satu demi satu projek hartanah dibangunkan syarikatnya – kemudian beroperasi atas nama Emkay Group – dengan sebahagian besar kediaman mampu milik berjaya disiapkan, malah lebih awal daripada jangkaan. 

Antara projek mercu tanda kejayaannya ialah Bandar Baru Sungai Buloh, Damansara Damai, Damansara Perdana, Serendah Golf Resort, Bukit Merah Laketown, Langkawi Lagoon Resort serta pembangunan di Pulau Banding dan Cyberjaya. 

Baginya, perniagaan yang diusahakannya berdasarkan pengalaman, minat dan common sense itu bukan setakat membina rumah dan kemudian menunggu wang keuntungan mengalir masuk.

“Membina dan menjual rumah bukan semata-mata kejayaan dari segi kewangan, tetapi lebih daripada itu... ia mengenai kepuasan peribadi,” katanya yang dikenali sebagai seorang yang kuat bekerja dan amat mementingkan disiplin.

Bagaimanapun, ramai yang membuat tuduhan bahawa kejayaannya adalah kerana hubungan baik dengan kerajaan Selangor, bukan berdasarkan konsep bisnes inovatif dan strategi sempurna yang dirangka. 

Reaksinya bagi tuduhan seperti itu, MK memberi contoh pembangunan Bandar Baru Sungai Buloh dimajukannya di kawasan yang pernah dilabel pusat pesakit kusta kedua terbesar di dunia itu.

“Ia projek perumahan kos rendah di kawasan yang bermasalah. Ahli perniagaan yang berhati-hati sudah tentu tidak berminat... bagaimana boleh dikatakan ia projek mewah untuk kroni?,” balasnya.

Selain hartanah, MK juga prihatin terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar, haiwan liar yang diancam kepupusan seperti orang utan dan ikan kelah, flora dan fauna, kemasyarakatan dan pembangunan sosial kepada golongan kurang berkemampuan. 

Itu antara secebis kisah anak Melayu yang tidak mudah mengaku kalah, harapannya biarlah lebih ramai anak bangsa yang menyerlah sambil berpesan: “Biarpun berniaga bukan perkara senang, saya sudah berjaya dan mungkin anda juga.” 

FAKTA
Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar


Lahir: 18 Mac 1949 di Kampung Changkat, Pusing, Perak

Anak: Tiga perempuan, seorang lelaki

Akademik: Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) Universiti Malaya

Hobi: Membaca dan muzik